r   Sekretariat 25 Tahun INSTUN, Institut Tanah dan Ukur Negara, 35900 Tanjong Malim, Perak, MALAYSIA  |   t.png   25tahun@instun.gov.my  |  re +605 – 455 2825  


03 OKTOBER 2023 | PERASMIAN BALAI CERAP TAN SRI HARUSSANI, INSTUN

BALAI CERAP TAN SRI HARUSSANI: INSTUN MENJADI INSTITUSI LATIHAN AWAM (ILA) TUNGGAL MILIKI FASILITI BALAI CERAP DI MALAYSIA

Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) merafak sembah dan menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bercemar duli merasmikan Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara dan Balai Cerap Tan Sri Harussani di Tanjong Malim, Perak pada 3 Oktober 2023 (Selasa), bersamaan 17 Rabiulawal 1445H.

Majlis Perasmian Kompleks INSTUN dan Balai Cerap Tan Sri Harussani tersebut telah diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak, iaitu ulangtahun ke-25 penubuhan INSTUN.

Balai cerap yang baru siap dibina pada Julai 2023 ini dinamakan sempena Mufti Negeri Perak ke-8 iaitu Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria setelah mengambilkira sumbangan beliau yang berkhidmat sebagai Mufti Negeri Perak dari tahun 1985 sehingga 2021.

Beliau merupakan tokoh agamawan yang disegani serta sentiasa menjadi rujukan dalam bidang pentadbiran agama Islam, pengurusan fatwa dan falak syarie.

Sejak penubuhannya pada 1 Mei 1998, INSTUN telah berkembang sebagai sebuah Institut Latihan Awam (ILA) yang disegani di Malaysia khususnya dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan.

YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam sembah ucapannya memaklumkan bahawa  Balai Cerap Tan Sri Harussani yang dibina dengan kos RM7.086 juta ini merupakan sebuah balai cerap moden yang pertama di Negeri Perak. Pembinaannya juga menjadikan INSTUN sebagai ILA tunggal yang memiliki fasiliti balai cerap bertaraf dunia di Malaysia.

Majlis Perasmian Kompleks INSTUN dan Balai Cerap Tan Sri Harussani turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta dif-dif jemputan yang lain. 

Semoga INSTUN akan terus menerajui aktiviti latihan dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan khususnya kepada penjawat awam di seluruh Malaysia. Kemajuan dalam bidang latihan ini akan menjadi pemacu kepada kemakmuran ekonomi negara selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI.